Kepentingan Madu Menurut Ajaran Islam
Diantara makhluk-makhluk ciptaan Allah S.W.T , lebah terkenal dengan lantaran madu yang dihasilkannya. Lebah dikenali melalui madunya. Tanpa madu, lebah hanya akan dianggap sebagai sejenis binatang biasa walaupun ia merupakan salah satu ajen pendebungan yang penting. Namun demikian, lantaran manusia selalunya lalai memerhatikan alam semulajadi yang didiaminya, mereka tidak menyedari bahawa tanpa lebah ini, sudah pasti keindahan alam dengan kuntuman-kuntuman bungannya tidak akan dinikmati. Walau bagaimanapun, lebah adalah satu makhluk Allah yang amat menakjubkan. Masyarakat yang berdisiplin, komited dan rajin bekerja. Hasil dari kerajinan dan ketekunan makhluk Allah ini, terhasillah madu yang mempunyai 1001 jenis khasiat yang secara tidak langsung memberikan sumbangan yang besar bagi kesejahteraan kehidupan manusia dari dulu hinggalah ke hari kiamat.
Madu merupakan makanan yang berkhasiat dan tidak dinafikan manfaatnya terhadap kesihatan manusia. Ianya dihasilkan oleh lebah yang menyedut nektar daripada pelbagai tumbuhan khususnya bunga-bungaan. Firman Allah S.W.T:
وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ(٦٧)
Maksudnya: Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. (surah An-Nahl ayat 68)
ثُمَّ كُلِي مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ فَاسْلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا ۚ يَخْرُجُ مِنْ بُطُونِهَا شَرَابٌ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاءٌ لِلنَّاسِ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ(٦٩)
Maksudnya: Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (surah An-Nahl ayat 69)
Comments
Post a Comment